KERATAN AKHBAR METRO TERKINI ( 16/12/08 )
16 artis sertai Stars2u
Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my
Rap
LEBIH 20 tahun bergelumang dalam industri hiburan, Datuk Aziz Bakar, yang pernah memegang beberapa jawatan penting dalam persatuan dan kini bertindak sebagai pengerusi Performers And Artistes Rights (M) Sdn Bhd atau Prism, mengakui arena hiburan di Malaysia belum boleh dianggap sebagai bidang yang menjamin masa depan.
Kenyataan itu diluahkan berdasarkan pemerhatiannya terhadap perjalanan industri hiburan yang tidak konsisten sejak dulu serta permasalahan yang berlaku kepada artis tempatan.
Atas kesedaran itu berserta niat yang murni, Aziz memperkenalkan Stars2u Sdn Bhd.
Bertindak sebagai pengasas dan pencetus idea, Aziz berkata objektif penubuhan konsortium ini adalah untuk memberi peluang khususnya kepada artis membina jaringan perniagaan yang pintar bersama peminat selain menyediakan platform untuk artis menjadi ahli perniagaan yang berjaya.
"Sudah lama saya ingin memperkenalkan satu perniagaan yang boleh menggabungkan artis tempatan lalu memberi mereka peluang perniagaan.
"Ini kerana saya melihat perjalanan karier seorang artis sentiasa ada pasang surutnya. Apabila tiba masa sudah tidak popular, mereka tidak lagi berpeluang membuat persembahan atau mendapat tawaran berlakon.
"Tetapi dulu saya tidak tahu perniagaan apa yang sesuai sehingga saya bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif Uptrend Network Sdn Bhd., Datuk Susie Yeoh. Dia adalah kenalan lama saya dan menguruskan syarikat multi level marketing (MLM).
"Selepas beberapa tahun, saya lihat perniagaannya berkembang dan makin membuatkan saya tertarik apabila ramai jutawan berjaya dilahirkan dan 48 daripadanya adalah orang Melayu termasuk penyanyi ND Lala dan Rosli Selasih," katanya.
Tambah Aziz, dia berpendapat mengapa tidak menggabungkan artis untuk menyertai perniagaan berkenaan kerana dengan populariti dan pengaruh yang mereka ada boleh mengajak peminat turut serta menjana pendapatan dan ekonomi keluarga masing-masing.
"Yang menariknya perniagaan ini tidak memerlukan modal yang banyak dan ia boleh dimulakan dengan hanya RM500, namun pulangan yang diterima cukup menguntungkan," katanya.
Pada 10 Disember yang lalu Stars2u melakar sejarah tersendiri dengan memeterai memorandum persefahaman (MoU) serentak bersama 16 artis terkenal tanah air dengan Uptrend Network - sebuah syarikat MLM e-Networking terkemuka.
Antara artis yang menjayakan projek ini adalah M Nasir, Ramli Sarip, Fauziah Latiff, Wan Nor Azlin, Nash, Awie, Ogy Ahmad Daud, Bob Lokman, Sabri Yunus, Jehan Miskin, Faradhiya, Ali Bakar, Rosli Selasih, Salman Shariff dan Soosan Hoh.
MoU yang diadakan di Hotel One World itu disaksikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia, Datuk Shahrir Abdul Samad.
Pada majlis sama, Stars2u turut mengambil peluang melancarkan produk bertaraf dunia yang pertama iaitu rangkaian suplemen Herbavescent.
Kata Aziz, selain 16 artis yang terbabit, perniagaan berkenaan terbuka kepada semua selebriti yang lain, tetapi pada waktu terdekat ini pihaknya mahu melihat bagaimana penerimaan ramai terhadap produk itu.
"Sudah semestinya kami mahu memperkembangkan perniagaan, tetapi sekarang kita mula dengan artis yang benar-benar boleh memberikan komitmen.
"Untuk pengetahuan ramai, Stars2u boleh dianggap sebagai agensi kepada Uptrend Network, bahkan mereka menyediakan pelbagai kemudahan termasuk kursus," katanya.
Emel Artikel Cetak Artikel



