KERATAN AKHBAR METRO TERKINI ( 16/12/08 )
Tak tunduk desakan
Oleh Mohamad Hussin
mohamad@hmetro.com.my
USAHAWAN...antara artis yang menghadiri majlis menandatangani
MoU dan pengenalan produk Herbavercent, semalam.
PETALING JAYA: Kerajaan tidak akan tunduk dengan desakan pengusaha stesen minyak yang tidak berpuas hati tindakan kerajaan menurunkan harga minyak, sebaliknya meminta mereka memulangkan lesen sekiranya tidak berminat lagi menjalankan perniagaan itu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad, berkata kurang pendapatan mana-mana stesen minyak berikutan penurunan bahan bakar itu, bukan maknanya kerugian yang besar pada mereka.
“Penurunan 15 sen harga minyak baru-baru ini bukan bermakna kerugian 15 sen, tetapi kerugiannya hanya tiga sen.
“Kalau mereka tak puas hati, kalau susah sangat... mereka boleh keluar dari perniagaan ini dan boleh serahkan lesen ini,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara syarikat Uptrend Network Sdn Bhd dengan Stars2u Sdn Bhd dan pengenalan produk baru Herbavercent, di sini, semalam.
Turut hadir, Penaung dan Pencetus Idea Stars2u, Datuk Aziz Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif Uptrend, Datuk Susie Yeoh.
Majlis itu turut dihadiri beberapa artis popular yang berminat menjadi usahawan produk berkenaan antaranya M Nasir, Fauziah Latif, ND Lala, Bob Lokman, Awie, Wan Nor Azlin, Badrul Muhayat, Ramli Sarip, Afdlin Shauki, Nash, Sabri Yunus dan Jehan Miskin.
Mengulas kewajaran Kerajaan Persekutuan memberi pampasan kepada mangsa tanah runtuh seperti yang berlaku di Bukit Antarabangsa, Shahrir berkata, kerajaan hanya memberi bantuan ihsan dan menjaga kebajikan rakyat bukannya membayar pampasan seperti mangsa tanah runtuh.
Beliau berkata, kerajaan memberi bantuan ihsan dan kebajikan mengurangkan penderitaan dan beban rakyat dilanda bencana alam.
“Kita memaklumkan mengenai projek pembangunan di lereng bukit jelas tidak boleh membenarkan sebarang projek di kawasan berisiko itu. Sebarang keputusan dan kelulusan sesuatu projek pembangunan tertakluk kepada kerajaan negeri,” katanya.
Emel Artikel Cetak Artikel



